Sunday, May 23, 2010

KISAH BUNGA MAWAR QURAISY

Aminah adalah seorang gadis rupawan yang berasal dari keturunan Bani Zuhrah. Disebabkan kejelitaan dan kebaikannya, beliau menjadi rebutan pemuda-pemuda Quraisy tetapi beliau terlebih dahulu telah mengenal Abdullah semenjak zaman kanak-kanaknya lagi. Abdullah berasal dari keturunan Bani Hasyim yang amat rapat dengan keluarga Aminah. Ramai pemuda berlumba-lumba untuk meminang Aminah tetapi Abdullah tidak turut berlumba untuk meminang Aminah. Ini adalah kerana ayahnya Abdul Mutalib telah bernazar untuk menyembelih salah seorang anaknya untuk Tuhan. Kisahnya, pada suatu hari Abdul Mutalib termenung memikirkan tugasnya untuk memberi minum kepada mereka yang berhaji. Pada suatu malam beliau telah bermimpi dan seseorang telah mendatanginya seraya berkata: “Engkau gali zam-zam. Bila kau menggalinya, kau tidak akan menyesal. Sumur itu adalah pusaka nenek moyangmu yang agung. Kau tidak salah dan berdosa, kerana engkau memberi minum bagi orang-orang yang berhaji”. Keesokan harinya, beliau dan salah seorang anaknya telah pergi untuk menggali sumur yang dimaksudkan. Akhirnya beliau telah menemui sumur tersebut dan cuba untuk menggalinya tetapi ditegah oleh kaum Quraisy kerana ia adalah tempat penyembelihan. Tetapi Abdul Mutalib tidak menghiraukan lalu terus menggali sumur tersebut sehingga cangkulnya terhantuk pada batu-batu yang menutup sumur tersebut. Kaum Quraisy telah bertelagah seketika dan mengatakan yang sumur itu adalah milik bapa mereka iaitu Nabi Ismail A.S. dan mereka juga mempunyai hak ke atas sumur tersebut. Akhirnya mereka terpaksa membuat undian untuk menentukan sumur tersebut milik siapa. Abdul Mutalib telah menang dalam undian tersebut kerana setelah membuat undian, hasilnya untuk Ka’abah telah keluar emas, lalu Abdul Mutalib memperolehi pedang dan perisai tetapi kaum Quraisy tidak keluar apa-apa. Saat itu Abdul Mutalib telah menguasai telaga zam-zam tersebut tanpa gangguan sesiapa. Namun begitu, Abdul Mutalib masih merasa sedih kerana telah diperkecilkan oleh kaum Quirasy hingga beliau telah bernazar: “Apabila akau mempunyai sepuluh orang anak, salah seorang dari mereka akan kusembelih untuk Tuhan”.

Harapannya termakbul dan beliau telah memiliki sepuluh orang anak dan Abdullah adalah yang paling bongsu. Anak-anaknya semuanya sudah bersedia untuk disembelih tetapi sebelum itu beliau harus membuat undian, siapakah salah seorang dari mereka yang akan disembelih. Setelah membuat undian maka terkeluarlah nama Abdullah, puteranya yang bongsu dan amat disayanginya. Apabila penyembelihan hendak dilakukan, tiba-tiba Mugirah Abdullah Al-Makhzumi telah menghalang Abdul Mutalib dari melakukan upacara penyembelihan tersebut. Beliau khuatir apabila Abdul Mutalib melakukan upacara penyembelihan tersebut ia akan menjadi adat. Kemudian beliau menyarankan agar berjumpa dengan Dukun Hijaz dari Khaibar dan Abdul Mutalib bersetuju. Setelah itu, mereka telah mencari dukun Hijaz dan beliau disarankan oleh dukun tersebut untuk menggantikan 10 ekor unta untuk seorang tebusan. Akhirnya Abdullah telah terselamat dari penyembelihan tersebut. Mereka sekeluarga amat bersyukur kerana Abdullah terselamat dari penyembelihan tersebut. Tidak lama kemudian Abdullah telah menghantar rombongan untuk meminang Aminah. Aminah amat gembira dan bersetuju menerima pinangan tersebut. Apabila mendengar yang Abdullah telah meminang Aminah, ramai gadis yang telah patah hati dan kecewa dengan berita tersebut.




Kini telah tibalah masanya Abdullah dan Aminah disatukan menjadi suami isteri. Mengikut adat kaum Quraisy, Abdullah mestilah tinggal di rumah mertuanya selama tiga hari dan hari keempatnya beliau boleh pulang ke rumah ibu bapanya untuk menyambut kedatangan isterinya pula. Semenjak diijabkabulkan, mereka berasa amat bahagia. Pada suatu hari Aminah menyuruh suaminya bercerita tentang gadis-gadis yang pernah ditolak pelawaan untuk menjadi isterinya. Semenjak berkahwin gadis-gadis yang pernah terpaut hati kepada Abdullah telah memalingkan muka mereka sewaktu Abdullah berjalan di depan rumah mereka. Antaranya Abdullah pernah menegur salah seorang dari mereka iaitu Qutailah binti Naufal, adik kepada Waraqah bin Naufal. Lalu Aminahpun berkata “Demi Allah! Suamiku, pasti ada sesuatu yang akan terjadi kerana dia tahu dari abangnya yang telah masuk Nasrani dan mempelajari kitab yang akan ada Nabi terakhir, dan kini saatnya telah tiba”. Abdullah kemudian telah berkata “Mungkin kita yang menerima kurnia-Nya, menurunkan nabi terakhir”.

Aminah kemudian tertidur dan setelah terjaga dari tidurnya beliau telah menceritakan kepada suaminya bahawa beliau melihat ada cahaya yang keluar dari tubuhnya yang sangat halus. Cahaya itu mampu menerangi seluruh alam maya ini. Hingga terlihat gedung di Syam dan Basra, dan beliau mendengar kata-kata: Wahai Aminah engkau telah mengandung seorang pemimpin seluruh umat manusia.”

Pada suatu hari, Saudah, seorang dukun besar orang Quraisy telah datang ke Bani Zuhrah dan melakukan pemeriksaan ke atas puteri-puteri Zuhrah dan memberikan sedikit nasihat. Tetapi apabila tiba giliran Aminah, beliau membaca mentera dan kemudian berkata yang Aminah akan melahirkan seorang bayi yang kelak akan menjadi penyambung lidah dan menjadi orang penting di seluruh dunia.

No comments: